Entry: Bahaya Sisters In Islam , Surat kepada Menteri di JPM Thursday, August 25, 2005



Dibawah ini ialah kandungan e-mel yang saya kirimkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri YB Dato' Dr. Abdullah B. Md. Zin ( menteri@islam.gov.my ) yang bertanggung jawab mengenai hal ehwal Islam akan bahaya pengaruh Sisters In Islam di Malaysia ini , antaranya Imam Wanita Amina Wadud dan pemansuhan undang-undang moral. Setakat ini tiada maklum balas yang di terima daripada menteri berkenaan.

Assalamualaikum wrt wbt ,

Terlebih dahulu izinkan saya mengucapkan terima kasih kepada YB Dato’ yang telah memberi komen mengenai isu ini yang tersiar dalam Mingguan Malaysia 3 April 2005.

Inilah jawapan yang dinanti-nantikan untuk memberi penjelasan kepada masyarakat Malaysia.

Seringkali saya perjelaskan kepada masyarakat setempat bahawa isu Amina Wadud ini mempunyai pengaruh yang besar di Malaysia, kerana beliau telah mempunyai tapak dan ramai penyokongnya dari kalangan ahli Sisters In Islam.

Saya juga menjelaskan kepada masyarakat setempat dan para jemaah ini bukanlah isu politik, ini ialah isu Islam itu sendiri, isu kefahaman Islam yang cuba dikelirukan oleh pihak tertentu dan pihak musuh Islam mengambil kesempatan untuk mengeruhkan lagi suasana.

Saya juga sering berkata , jika tak sokong PAS tak apa, tak sokong pembangkang tak apa , tapi jangan bersekongkol dengan kumpulan Sisters In Islam ini, kerana boleh menjurus kepada pemahaman Islam yang liberal dan bebas sebebasnya serta boleh menjejaskan akidah.

Saya juga menasihatkan pada teman-teman yang ada anak-anak dalam Puteri UMNO dan isteri-isteri dalam Wanita UMNO agar jangan terpengaruh dengan dasar perjuangan hak wanita yang liberal oleh kumpulan Sisters In Islam ini, kerana akibatnya mereka boleh lihat sendiri apa yang Amina Wadud buat, tak mustahil pemimpin seperti Amina Wadud ini akan menggesa agar ada kadi dikalangan wanita, wanita boleh melafazkan talak dan sebagainya.

Saya juga berpesan kepada rakan-rakan yang mempunyai hubungan dengan pemimpin atasan UMNO agar jangan diberi ruang kepada Sisters In Islam untuk membuat seminar tentang hak wanita yang dikaitkan dengan pemahaman Islam yang salah di kalangan penuntut IPT,

Puteri UMNO dan wanita UMNO. Sekiranya ada anak pemimpin yang menyertai Sisters In Islam ini seperti Nori Abdullah agar dinasihatkan agar meninggalkan kumpulan ini dan bergurulah dengan ustazah kita yang ramai di JAKIM dan Jabatan Agama.

Kumpulan Sisters In Islam dan Amina Wadud ini mempunyai ramai pengikut mereka di Amerika Syarikat, dan mereka ini membentuk kumpulan Progressive Muslim Union of North America (PMU), dimana salah seorang Ahli Lembaga Pengarah PMU ini ialah Zuriani Zonneveld anak bekas duta Malaysia yang juga merupakan pencipta lagu dan composer yang memenangi Album of The Year Award dalam Anugerah Industri Muzik Malaysia. Dan tugas Zuriani dalam PMU ialah untuk mencabar pemikiran Islam dan memberi penerangan mengenai Islam kepada orang bukan Islam. Bayangkan jika orang seperti ini memberi penerangan kepada anak-anak kita di IPT, Puteri UMNO dan Wanita UMNO mengenai peranan wanita dalam Islam? Yang menariknya PMU ini juga mempunyai 10 prinsip Islam Progresif.

Semoga Allah memberikan kekuatan kepada YB Dato’ untuk memperkatakan apa yang benar dan apa yang salah.

Wassalam.

Rozmal bin Malakan
Taman Alamanda, Senawang

http://rozmal.blogspot.com/2005/04/bahaya-sisters-in-islam-surat-kepada.html

   0 comments

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments