Hakikat bahawa sebahagian besar hadis direkod secara makna dan bukan diterima secara lafaz jarang ditekankan dalam pengajian hadis. Pendapat ini disokong oleh para ulama. (Nahj al-Taisir Syarh Mazhumah al-Tafsir oleh Sayyid Muhsin bin Ali al-Musawa al-Makki).
Golongan tajdid dalam pengajian hadis tidak mengambil perhatian tentang aspek ini. Antara tokoh golongan tajdid ini ialah Syeikh Nasiruddin al-Albani yang mempengaruhi golongan Salafi Wahabi.
Kesannya ialah mereka bersikap taksub dalam penyelidikan. Sesungguhnya Sahih Bukhari mempunyai lafaz yang berbeza dalam ayat sesebuah hadis menurut riwayat atau kekukuhan ingatan atau keupayaan seseorang murid Imam Bukhari sehingga sampai ke generasi kita.
Albani sendiri tidak mengutamakan fakta ini dalam pengkajian hadisnya. Oleh itu, banyak hadis diketepikannya akibat tidak mengambil peduli majoriti hadis dalam dunia Islam adalah diterima secara makna.
Ramai yang tidak mengetahui bahawa ada Sahih Bukhari diterima daripada jaluran salasilah (sanad) seramai 25 orang tokoh terkenal kerana buku-buku tentang penyelidikan hadis kini tidak menganggapnya penting. Tetapi, demi menjaga amanah ilmu Syaikh Muhammad Yasin al-Fadani al-Makki (meninggal 1990) telah mendokumenkan fakta ini ke dalam kitab Nihayah al-Matlab.
Ada sebuah edisi Sahih Bukhari yang mengambil kira lafaz-lafaz berbeza iaitu Cetakan Bulaq yang bertarikh 1311 Hijrah.
Kitab ini diterbitkan atas perintah Khalifah Sultan Abdul Hamid II. Menurut hemat Dr. Yusuf Abdurrahman al-Mar'asyli (penyelidik di Pusat Khidmat Sunnah dan Sirah di Madinah), cetakan ini adalah edisi Sahih Bukhari paling baik kerana menghimpunkan beberapa riwayat yang mengemukakan lafaz. (al-Majma al-Muassis, 1/90).
Ekoran fakta ini, sesiapa yang taksub menggunakan hadis secara literalnya akan mengundang kekeliruan kepada pentafsiran ilmu-ilmu Islam. Setakat ini, para ulama nahwu menggunakan hadis yang mengandungi bacaan harian umat Islam yang tidak memungkin perubahan kalimah atau dengan kata lain lafaz-lafaz yang diterima sebagaimana disebut sendiri oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Ini memperlihatkan semata-mata pengajian al-Quran dan hadis secara literal tidak menjamin pengkayaan khazanah ilmu Islam, malah akan mengelirukan lagi serta hanya menimbulkan krisis pemikiran sebagaimana yang dicetuskan oleh golongan Salafi Wahabi.
Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi, dalam bukunya Ummatuna Baina Qarnain, terbitan Dar al-Syuruq Mesir menganggap pemikiran Albani sebagai mazhab kelima. Menurutnya, ada kelompok yang membangga-banggakan Syaikh Abdullah bin Baz, Syaikh Salih bin Uthaimin serta ulama-ulama Saudi sebagai tempat rujukan tunggal dan tidak menerima ilmu yang datang daripada para ulama lain.
- MOHD ZAIDI ABDULLAH dari Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas, Kelantan.